Manage PermissionsManage Permissions

OPERASI BERSEPADU TAP DAN JABATAN BURUH KE PREMIS-PREMIS PERNIAGAAN DI DAERAH KUALA BELAIT

Khamis, 20 September 2018- Tabung Amanah Pekerja (TAP) dengan kerjasama Jabatan Buruh cawangan Kuala Belait telah mengadakan Lawatan Bersepadu ke premis-premis perniagaan di sekitar kawasan Kuala Belait.

Tujuan lawatan ini adalah bagi memastikan majikan telah menjalankan tanggungjawab bagi pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja-pekerja tempatan ke dalam Skim TAP dan SCP selaras dengan Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan (SCP), 2009.   Pada masa yang sama untuk memastikan majikan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Buruh bagi pekerja tempatan dan pekerja asing, selaras dengan Perintah Pekerjaan 2009.

Antara hasil daripada Operasi Bersepadu tersebut adalah:

  • Tabung Amanah Pekerja (TAP):
     
    Daripada lawatan ini, pegawai-pegawai pemeriksa TAP telah mendapati dari sebanyak 25 premis majikan telah diperiksa, terdapat 5 majikan dan 8 pekerja tempatan masih belum didaftarkan dibawah skim TAP dan SCP. Manakala, 5 majikan yang telah gagal menunjukkan dokumen-dokumen yang diperlukan seperti proses pendaftaran pekerja serta proses pembayaran caruman yang tertunggak semasa lawatan telahpun diarahkan untuk membuat perjumpaan ke pejabat TAP.

     TAP dengan ini ingin mengingatkan majikan mengenai tanggungjawab mereka untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak ke Skim TAP dan Skim SCP. Pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat adalah wajib didaftarkan dan dicarumkan ke Skim TAP dan Skim SCP. Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja di dalam tempoh percubaan. Di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja, jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang $3,000.00 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000.00 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Ahli yang ingin membuat sebarang aduan bolehlah mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja. Bagi ahli yang telah berdaftar ke e-Amanah, aduan bolehlah dibuat dengan mendaftar masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.

  • Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh:
     
    Jabatan Buruh mendapati beberapa kesalahan daripada pihak  majikan di mana didapati beberapa orang pekerja tempatan tidak diberikan kontrak pekerjaan, penyalahgunaan jawatan yang dibenarkan, tiada pembayaran kerja lebih masa, pekerja bekerja pada hari kelepasan awam tidak dibayar gaji dua kali ganda dan kesalahan penempatan tidak selaras dengan kebenaran Lesen Pekerja Asing.

    Dalam masa yang sama Jabatan Buruh juga ingin memperingatkan majikan untuk mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Buruh bagi pekerja tempatan dan pekerja asing, selaras dengan Perintah Pekerjaan 2009 dan Jabatan Buruh tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya didapati majikan melakukan kesalahan berkenaan.

  • Lawatan Bersepadu ini merupakan kali kedua diadakan bagi tahun 2018 dan kerjasama ini akan diteruskan lagi dimasa akan datang didalam memastikan kesejahteraan pekerja di Negara ini terjaga.
Attachments