Manage PermissionsManage Permissions

PEMILIK SYARIKAT ZAHRAH EMPLOYMENT AGENCY DIDENDA ATAS KESALAHAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG TAP

Khamis, 27hb September 2018 – Tabung Amanah Pekerja (TAP) dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara telah membuat pendakwaan ke atas Syarikat Zahrah Employment Agency kerana gagal membayar caruman pekerja di bawah Bab 26 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 29 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan, 2009. Sebutan kes telah diadakan di Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada hari Khamis, 17 Muharram 1440 bersamaan 27hb September 2018.

Kes berkenaan telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya daripada Pejabat Peguam Negara iaitu Awang Qhairul Azim bin Nayan bersama Pegawai Pendakwa TAP, Haji Muhd Nur Aiman bin Hj Aminuddin.

Sementara syarikat tersebut yang diwakili oleh pemiliknya telah mengaku bersalah ke atas pertuduhan kerana tidak membuat pembayaran caruman TAP. Sehubungan dengan itu, Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan telah menjatuhi hukuman denda ke atas pemilik syarikat tersebut sebanyak $1,600.00. Selain daripada itu, pemilik syarikat tersebut juga diperintahkan untuk membayar denda tersebut dalam tempoh 2 minggu dan jika gagal akan dikenakan hukuman penjara 6 minggu.

Di bawah Bab 26 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 29 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan, 2009, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi $3,000.00 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi $10,000.00 bagi kesalahan kedua dan selanjutnya.  

Dalam hal ini, bagi memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara dan ingin mengingatkan kepada majikan untuk sentiasa memastikan mereka membuat pembayaran caruman TAP dan SCP pekerja mereka sebelum 15hb pada bulan berikutnya bagi mengelakkan caj lewat pembayaran.

Pada masa yang sama, jika ada pekerja yang belum didaftarkan ke TAP atau tidak dibayarkan caruman TAP dan SCP, adalah dinasihatkan untuk membuat aduan ke Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja, melalui emel di ask@tap.com.bn ataupun dengan mengunjungi mana-mana kaunter TAP dengan membawa dokumen-dokumen yang berkaitan.

Attachments